Teater Mandarin terbitan Musical On Stage Production itu mengutarakan sepenuhnya alunan muzik dan gaya suara soprano bagi meniupkan segala titik mula kisah suka duka Puteri Wen Cheng hingga ke akhir pementasan tersebut.
Tidak keterlaluan jika dikatakan teater arahan Ho Lin Huay itu menampilkan lebih 90 peratus perjalanan pementasan itu dalam keadaan berlagu.
Selain berbentuk lagu-lagu tradisional, Imee Ooi selaku komposer, penyusun muzik dan pengarah muzik teater ini turut menyelitkan elemen muzik pop dan klasikal.
Gaya konsep yang diketengahkan itu seolah-olah menjadikan Jewel of Tibet sebuah album baru yang menampilkan pelbagai nada dan irama dalam tempoh keseluruhannya hampir 150 minit.
Tidak banyak yang cuba diketengahkan melalui dialog biasa, sebaliknya ia disinambungkan menerusi gaya dialog yang dilagukan.
Pendekatan konsep itu yang banyak dipengaruhi oleh pementasan opera Cina begitu menusuk telinga. Apatah lagi, alunan suara Paulway Chew yang membawakan watak Puteri Wen Cheng begitu membuai perasaan.
Teater yang menyediakan sari kata dalam bahasa Inggeris itu menyerlahkan bukan sahaja dialog yang puitis tetapi gaya nada tinggi vokal Chew juga berjaya memikat para penonton.
Dengan kos pementasan berjumlah RM1.5 juta, teater ini menceritakan tentang Puteri Wen Cheng yang sanggup mengembara dari China ke Tibet semata-mata untuk mengahwini Raja Songsten Gampo.
Dalam misi penggembaraannya itu, dia melalui pelbagai rintangan antaranya terpaksa meredah hutan belantara, gunung-ganang serta ribut salji yang tidak mengenal erti kasihan.
Segala gambaran itu begitu menyerlah apabila sebanyak 200 set pentas digunakan bagi menggambarkan setiap adegan dalam teater ini.
Suasana pementasan Jewel of Tibet tambah menyerlah dengan adanya lagu-lagu selingan yang diserikan dengan tarian bagi mengiringi sesuatu adegan yang dipaparkan.
Bukan setakat pendokong watak utamanya sahaja, tetapi boleh dikatakan setiap watak yang ditampilkan turut menyerlahkan gaya dialog mereka dalam bentuk alunan lagu-lagu yang mendayu-dayu.
Sesungguhnya Jewel of Tibet yang mengutarakan kisah cinta klasik bangsa Cina ketika era Dinasti Tang itu berjaya menyerlahkan seni dan budaya masyarakat tersebut.
Malah, latar masa lebih 1,000 tahun lampau yang melatari jalan cerita teater ini merupakan suatu tarikan penting buat para penonton.
Sebanyak 16 adegan yang dipaparkan menerusi Jewel of Tibet berjaya mencetuskan mood yang berbeza. Adakalanya ia bernada sentimental, serius malah menjadi tegang dengan konflik yang tercetus.
Teater yang mengenakan harga tiket dari RM53 hingga RM253 itu yang dibahagikan kepada dua set persembahan ternyata tidak mencetuskan rasa gelisah para penonton.
Ini kerana, setiap adegan bukan sahaja memaparkan plot cerita, lagu-lagu dan probs pentas yang berbeza-beza.
Tetapi pementasan teater itu juga seakan-akan cuba menggali ‘zaman kehidupan’ kisah cinta uda dan dara yang berlaku lebih 1,000 tahun lampau dengan dimensi yang lebih imaginatif.
Sebab itu tidak hairanlah Panggung Sari seakan-akan membawa zaman silam negara China ke abad ini menerusi gaya persembahan berunsurkan seni yang lebih abstrak.
Mana mungkin penggambaran suasana zaman lampau seperti itu mampu diterjemahkan di atas satu pentas menerusi konsep lakonan ‘sebabak’ dan hanya mengambil durasi masa hampir dua jam.
Apapun langkah Istana Budaya memberi laluan pementasan Jewel of Tibet bukan sahaja membanggakan para penonton menerusi gaya persembahan itu yang bertaraf dunia.
Malah, pementasan teater seperti itu mampu membuka ruang lingkup serta kepelbagaian seni dan budaya di panggung tersebut.





0 comments:
Post a Comment